10 barang disekat keluar

Larangan bagi pastikan bekalan mencukupi, elak warga asing nikmati subsidi

PUTRAJAYA: Tujuh lagi barang kawalan dilarang dibawa keluar dari negara ini, termasuk melalui pelabuhan serta lapangan terbang, bagi memastikan bekalannya mencukupi dan mengelak warga asing mengambil kesempatan menikmati subsidi kerajaan. Barang itu ialah minyak masak; simen dan klinker; petrol, spirit motor dan gasoline motor dari semua gred; gas petroleum cecair; bar bulat keluli lembut; ayam serta baja.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan larangan sama terhadap tiga barang kawalan, iaitu gula, tepung gandum dan diesel. Sepuluh barang itu antara 20 barang yang disenaraikan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata semua pihak termasuk rakyat asing dilarang membawa keluar 10 barang terbabit, walaupun dalam kuantiti kecil seperti sekilogram. "Ia akan diwartakan tidak lama lagi dan dijangka dikuat kuasa sepenuhnya menjelang 1 Mac ini.
"Bagaimanapun, pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti membawa keluar atau menyeludup beberapa barang kawalan seperti gula dan minyak masak sudah dilakukan," katanya pada sidang media di sini, semalam. Individu yang didapati membawa keluar 10 barang kawalan terbabit boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama serta denda RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua.


Mohd Shafie bagaimanapun berkata, larangan itu tidak terpakai jika individu atau syarikat berkenaan memiliki lesen eksport atau dokumen memperakukan pengeksportan barang terbabit. Beliau berkata, harga runcit 10 barang kawalan terbabit di pasaran tempatan lebih rendah berbanding di negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina kerana mendapat subsidi kerajaan.


Kerajaan membelanjakan RM635 juta setiap tahun untuk subsidi minyak masak dan RM35 bilion untuk petrol dan bahan api lain. "Paras harga rendah di Malaysia kerana barang kawalan seperti diesel, petrol, gas petroleum cecair dan tepung gandum mendapat subsidi kerajaan, manakala minyak masak mendapat subsidi melalui ses yang dikutip daripada tuan punya ladang kelapa sawit dalam negara," katanya.

Mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2008, Mohd Shafie berkata, kementerian sudah mengeluarkan 67,826 lesen dan pemantauan di seluruh negara hingga kelmarin merekodkan 53 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai RM8,155.50. "Kita gembira kerana sepanjang pemantauan di bawah skim kawalan harga ini, tidak banyak masalah timbul berhubung bekalan dan barang yang diperlukan," katanya.

Ditanya hasil mesyuarat pertama Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, kelmarin, Mohd Shafie berkata:

"Ia mesyuarat biasa... kita melihat mengenai bagaimana hendak menstabilkan harga dan bekalan barang."

0 comments:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Web Hosting Deals