Salam.
Artikel ini di petik daripada blog penasihat Orator, Cik Haslinda Hashim http://kakcikhashim.blogspot.com/ . Semoga boleh dijadikan bahan dan sebagainya.
Motivasi Dalam Pengurusan Persaraan
Oleh
Haslinda Hj Hashim
PBMSK UMP
27 Mei 2008
Berita umur persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun dari 56 tahun telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 10 Mei 2008 berkuat kuasa Julai tahun ini. Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa keputusan ini diambil setelah menilai jangka hayat rakyat Malaysia. Pengumuman ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dari masyarakat. Ramai yang menyokong dan merasa syukur kerana akan terus diberikan peluang berkhidmat sebelum diminta bersara. Namun ada yang mengeluh kerana memikirkan suasana alam pekerjaan di ketika umur 50an yang akan menimbulkan pelbagai konflik di dalam pengurusan organisasi. Isu yang lebih utama ialah: Adakah kita perlu merancang untuk hari tua kita sejak kita mula bekerja? Atau adakah kita perlu menunggu pada saat kita melangkahi umur 50an dan kemudian barulah kita mula memikirkan zaman persaraan kita?
Sejauh manakah kita mula memikirkan soal persaraan secara serius? Adakah seorang pekerja berumur 25 tahun tidak perlu memikirkan soal persaraan atau zaman pencennya? Adakah kita masih terlalu muda untuk memikirkan suasana ketika kita tua kelak? Ramai yang beranggapan bahawa musim persaraan adalah musim yang bahagia kerana itulah saatnya kita boleh merehatkan minda dan badan dari memikirkan tentang kepenatan di tempat kerja. Kita juga membayangkan diri kita melakukan hobi yang tidak kita mampu laksanakan di zaman muda. Bersantai bersama keluarga, mempunyai rumah besar, mempunyai simpanan yang mencukupi dan merancang untuk melancong ke seluruh dunia. Namun, adakah semua ini realiti ataupun fantasi semata-mata?
Meninjau simpanan di KWSP mahupun skim pencen yang kita ada akan menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah simpanan di KWSP mencukupi untuk membayar hutang yang masih belum langsai? Hutang rumah? Hutang kereta? Pinjaman pendidikan? Pinjaman peribadi? Kad kredit? Bagaimana pula dengan anak-anak yang mungkin masih bersekolah ketika kita sudah pencen? Satu kiraan yang cukup mudah iaitu 20 tahun dari sekarang, pada umur 58 tahun, kita akan mendapat pencen RM1500-RM2000 sebulan. Adakah ketika itu harga petrol kekal seperti sekarang? Harga beras pula bagaimana? Bagaimana dengan yuran kemasukan universiti? Di sinilah motivasi di dalam pengurusan persaraan memainkan peranan yang penting sebagai langkah-langkah untuk menikmati hari tua yang lebih baik. Sebagai manusia biasa, kekuatan di dalam membuat keputusan mestilah disokong oleh motivasi dalaman yang kuat supaya setiap keputusan terpancar di dalam tindakan yang akan mempengaruhi kehidupan kita pada saat ini.
Antara motivasinya:
1. Setiap manusia menuju alam tua. Bersyukurlah kita dilahirkan sihat dan masih muda pada saat ini. Dengan tenaga dan kudrat yang kita ada sekarang, kita mesti berusaha dengan lebih kuat untuk mencari rezeki pada saat ini dan juga sebagai simpanan di hari tua. Islam mengajar kita tentang bekerja keras dan di dalam buku `Pesara Jutawan’ oleh Azizi Ali, beliau memberikan tip iaitu setiap orang mesti mempunyai lebih dari satu sumber pendapatan bagi menjamin mereka mempunyai pendapatan yang sama apabila mereka pencen kelak. Hadis dari Imam Muslim mengatakan: Nabi Muhammad saw berkata “Sesungguhnya orang mukmin yang gagah adalah lebih baik dan lebih Tuhan sukai daripada mukmin yang lemah”. Oleh itu, rebutlah saat muda ini dengan bekerja keras untuk mencari rezeki lebih terutama bagi simpanan di hari tua.
2. Setiap manusia mencari-cari ilmu. Apabila kita sudah mula memikirkan tentang pengurusan persaraan kita, yakinlah bahawa ada ramai yang dapat membantu kita di dalam merancang skim persaraan kita. Mereka ini mempunyai ilmu di dalam bidang kewangan dan mereka bersedia untuk memberikan kita pendapat tentang simpanan dan perbelanjaan kita berdasarkan kepada corak kehidupan kita sekarang. Azizi Ali di dalam buku `Pesara Jutawan’ juga mencadangkan mereka yang mempunyai kelayakan Chartered Financial Consultant (ChFc) atau Certified Financial Planner (CFP) atau Registered Financial Planner (RFP) dapat membantu kita merancang kewangan kita bermula dari sekarang. Pelbagai tip yang boleh kita terima pakai di dalam pelaksanaan simpanan hari tua kita seperti memaksimumkan caruman KWSP, mempunyai lebih dari satu simpanan, menyelesaikan pelbagai hutang dengan secepat mungkin, jangan sentuh wang simpanan dan lain-lain lagi. Kita mesti bersedia untuk menimba ilmu dari setiap sudut dalam kehidupan kita kerana hanya dengan ilmu sajalah maka kita dapat merancang kehidupan yang lebih baik di hari tua. Dalam surah al-Mujahadah ayat 11 yang bermaksud, “Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-rang yang berilmu dengan beberapa darjat”. Oleh itu, berusahalah untuk mencari ilmu kesenangan di hari tua.
3. Setiap manusia inginkan kesenangan. Harta benda yang kita cari ini akan dapat membantu menambahkan iman sekiranya ianya digunakan ke jalan yang benar. Sekiranya kita merancang untuk berjimat cermat dari usia muda, sudah semestinya sebagai orang Islam, kita akan berusaha untuk menyimpan sebagai persediaan untuk menunaikan umrah dan juga ibadat haji. Kita juga berlumba-lumba untuk berkongsi kesenangan yang kita perolehi dengan keluarga kita serta merasa yakin bahawa rezeki akan berlipat kali ganda sekiranya kita rajin bersedekah. Kekayaan duniawi yang menyumbang kepada kesejahteraan ummah sekaligus akan mengangkat martabat kehidupan. Perancangan di dalam kewangan pada saat muda akan membantu membina suasana harmoni di dalam institusi kekeluargaan serta masyarakat. Memetik kata-kata dari buku Tip-tip Cemerlang daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin, mengikut laporan Imam Bukhari dan Muslim, nabi pernah menasihati sahabat Saad bin Abu Waqqas dengan berkata, “Kamu meninggalkan waris-warismu dalam keadaan kaya raya adalah lebih baik bagimu daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga mereka terpaksa meminta-minta kepada orang lain”. Didiklah keluarga kita supaya hidup secara sederhana agar kekayaan di dunia dapat membimbing kita sekeluarga menjadi lebih bersyukur dengan nikmat Allah swt.
4. Akhirnya, setiap manusia inginkan kebahagiaan abadi. Setiap daripada kita mempunyai hobi yang akan memberikan kita ketenangan dan kebahagiaan. Merancang pengurusan persaraan juga akan membantu kita menikmati hobi kita dengan lebih teratur dan terperinci bermula dari saat kita muda sehinggalah kita bersara kelak. Begitu juga dengan kebahagiaan apabila kita sihat dari segala penyakit. Oleh itu, rancanglah agar kita menjaga pemakanan kita hari ini agar hari tua kita tidak dipenuhi dengan temu janji dengan pihak hospital yang semestinya akan memakan belanja yang agak tinggi. Bagaimana pula dengan pasangan yang membahagiakan? Azizi Ali dalam buku `Pesara Jutawan’ juga menasihatkan kita agar kekal di dalam perkahwinan kerana perceraian memakan belanja yang lebih banyak dan ianya akan mendatangkan tekanan kepada emosi, mental, rohani serta fizikal kita. Merancanglah agar suasana keluargaan kita sentiasa dipenuh dengan aktiviti-aktiviti kerohanian yang dapat membina kekuatan jiwa ahli keluarga kita. Binalah kekuatan di hari tua melalui pembentukan sistem keluarga yang bahagia dan menyenangkan. Kehidupan yang sederhana akan mendatangkan kecemerlangan di hari tua. Imam al-Bazzar menyatakan, nabi berkata, “Sesiapa yang besederhana akan dikayakan Allah. Sesiapa yang suka membazir akan dimiskinkan oleh Allah.”
Kesimpulannya, kita perlu merasa bermotivasi untuk menghadapi hari tua. Ini adalah kerana tidak ada manusia yang boleh lari dari hari tua melainkan mereka dijemput oleh Allah swt pada umur muda. Bergembiralah dengan usaha kita demi mencari kesenangan untuk seisi keluarga. Yakinlah bahawa dengan usaha, ilmu dan amalan yang disukai oleh Allah swt, kita semua berada di landasan yang cukup selesa sebagai persediaan untuk hari persaraan kita. Hidup kita mesti diteruskan, namun kita mesti bersedia untuk mencorakkan suasana yang lebih selesa dan sederhana demi menikmati hari tua yang lebih membahagiakan.
0 comments:
Post a Comment